KENINGAU (Sabah, Malaysia):
Berkata bahawa hampir 30 tahun orang ramai tertipu dengan status sebenar Batu
Sumpah Keningau, Peribumi menegaskan kesilapan tanggapan itu perlu dibetulkan
dengan segera.
“Orang ramai tidak tahu yang mana batu sumpah
yang sebenar,” jelas Peribumi atau Gabungan Anak-Anak Peribumi.
Menambah bahawa individu yang
berkepentingan dengan batu sumpah Keningau, telah melafazkan sumpah mereka di
tempat yang salah, peribumi memberitahu dengan sinis;
“Sumpah mereka tidak berkesan,” jelas
kelab itu dan memberitahu, majlis bersumpah yang telah dilakukan di hadapan
batu sumpah yang salah pada sebelum ini umpama satu upacara biasa yang tidak
memberi sebarang makna.
Peribumi menjelaskan bahawa Batu Sumpah
Keningau yang sebenar hanyalah sebiji batu kecil yang diletakkan berhampiran
dengan batu besar yang sering diajukan sumpah, tetapi sebenarnya merupakan
‘petunjuk’ beberapa terma perakuan diantara pemimpin-pemimpin pedalaman, yang
bersumpah untuk taat setia kepada kerajaan persekutuan pada Tahun 1963.
Antara yang
terlibat adalah OKK Sedomon Gunsanad, Datuk GS Sundang, OKK Anthony Undan,
Datuk Anthonya Gibon serta beberapa pemimpin yang lain.
Sebiji batu yang kemudian dijadikan Batu
Sumpah berasal dari Bingkor, sementara batu besar yang menempatkan
petunjuk terma persumpahan diambil dari Sungai Senagang.
Peribumi mendedahkan pengukir batu
petunjuk yang selama ini dianggap sebagai Batu Sumpah Keningau, ialah
Allahyaraham Abdul Razak Lee.
Kelab penyokong dasar-dasar kerajaan itu mahu supaya
kesilapan sejarah itu dibetulkan dengan segera, dan menasihati orang ramai agar
behati-hati sebelum mengiakan sesuatu yang mereka tidak jelas, khususnya
maklumat daripada pemimpin pembangkang.
KENINGAU: Upacara
sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang jatuh pada setiap September 16, rasanya
kurang lengkap bagi memperingkati kelahiran “Malaysia” dibumi Sabah khususnya
diPedalaman jika tidak melibatkan upacara menepung tawar sambil membaharui
tekad dan ikrar taat setia kepada janji janji yang terukir diatas “Batu Sumpah”
yang terletak diperkarangan Urusetia Pejabat Daerah Keningau.
Batu Sumpah yang dahulunya terletak di atas bukit Hotel Perkasa
dibina khas ketika Sabah terutamanya rakyat Pedalaman bersetuju pembentukkan
Malaysia pada tahun 1963, yang dipelopori oleh pejuang pejuang politik tempatan
seperti mendiang OKK Sedomon Gunsanad, Datuk G.S Sundang, OKK Anthony Undan
Andulag, Datuk Anthony Gibon dan banyak lagi.
Antara kandungan
tercatat diatas Batu Sumpah itu merupakan cetusan rasa rakyat Pedalaman keatas
keikhlasan mereka terhadap penerimaan kerajaan Malaysia yang menggabungkan tiga
wilayah Sabah,Sarawak dan Malaya; (Ketika itu Singapura masih bersama Malaysia
tetapi selepas tahun 1965 Singapura mengambil keputusan keluar daripada gagasan
Malaysia).
Bagi menyempurnakan
keikhlasan mereka (rakyat Sabah), satu janji antara kedua belah pihak
termeterai yang meminta pemimpin Malaya tidak memungkir mahupun menodai 20
Perkara diukir keatas Batu Sumpah dan disaksikan beberapa “Bobolian” termasuk
mengorbankan ayam sebagai “Sogit” untuk mengukuhkan janji janji tersebut.
Kini Sabah sudah dalam
usia selama 48 tahun bersama Malaysia namun apa yang tersurat diatas Batu
Sumpah sudah jelas terabai dan diengkari malah terdapat beberapa pemimpin silih
berganti sebelum ini; jangankan menjenguk muka ke Batu Sumpah malah bayang
bayang mereka pun langsung tidak kelihatan.
Walhal segala gala
ianya bermula disini (Batu Sumpah) yang melakar berbagai kemewahan mahupun
kecemerlangan mereka dalm perniagaan malah dalam pendidikan termasuklah dalam
bidang politik namun kerdipan lampu neon dan bunga api menjadi pilihan mereka
menyambut Hari Malaysia; sebaliknya Batu Sumpah dibiarkan menjadi perhiasan
perkarangan Pejabat Daerah Keningau sehingga ke hari ini.
Dalam keghairahan
pemimpin hari ini dalam kerajaan, Pemimpin maverrick Datuk Dr Jeffrey G.
Kitingan tidak melupakan mesej yang terkandung diatas Batu Sumpah meskipun
beliau ketika melahir dan memimpin UBF dalam setakat beberapa tahun kini tahun
2011 sudah kali ke-3 beliau mengadakan upacara memperingati Batu Sumpah
Manakala SAPP adalah
merupakan kali pertamanya menyertai upacara ini dengan diiringi kira kira lebih
seratus ahli ahlinya namun barisan pemimpin SAPP yang hadir tidak sahaja
terdiri dari pemimpin KDM; sebaliknya jelas kelihatan pemimpin lain seperti
Richard Lee seorang Ahli Majlis Tertinggi SAPP, Irene Chan, Rudy Sulaiman Mairi
juga turut hadir menghormati kewujudan Batu Sumpah.
Meskipun Parti BERSAMA
(dulu dikenali Parti SETIA) dibawah teraju kepimpinan Shuhaidin Langkap juga
kali pertamanya menyertai upacara ini namun ianya dilakukan dengan penuh
ketradisian yang bermula dari segi pakaian, tarian dan pukulan gong dimana
kesemuanya berdasarkan kebudayaan dari kesukuan etnik Gana.
Pendeknya, kelibat
mereka ini telah membuktikan kecintaan mereka terhadap Sabah yang pada
realitinya memberi mesej kepada rakyat dan pemimpin Sabah bahawa erti sebenar
pengisian sambutan Hari Malaysia adalah terletak kepada apa yang tersurat
diBatu Sumpah yang perlu dihormati dan perlu dilaksanakan janji janji tersebut.
Mesej tersebut juga
mempunyai kaitan bahawa senario terbinanya Batu Sumpah sebagai lipatan sejarah
yang tepat memulakan situasi yang sebenarnya sekaligus mengingatkan generasi
muda masa kini ianya merupakan catatan sejarah yang tepat penerimaan masyarakat
Pedalaman terhadap pembentukkan Malaysia pada tahun 1963.
Oleh: Ambrose M. Matthew Friday, September 16, 2011 http://wikisabah.blogspot.com/2011/09/lagenda-batu-sumpah-keningau-ikrar-baru.html
KENINGAU, 29 Nov (Bernama) -- Kecuali ayat
yang ditulis dalam Bahasa Melayu menggunakan ejaan lama, `batu sumpah
peringatan' di hadapan Pejabat Daerah Keningau kelihatan seperti batu biasa yang lain.
Kebanyakan pelawat langsung
tidak ambil peduli akan maksud perkataan yang tertera pada plak yang dipasang
pada batu itu yang berbentuk tapak kaki besar.
Tetapi selepas sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang julung kali
diadakan pada 16 Sept lepas di Sabah, batu bersejarah ini sedikit sebanyak
menerima pengiktirafan.
KISAH DI SEBALIK BATU
BERSEJARAH
Batu itu pada mulanya
ditempatkan di dalam kawasan pejabat daerah lama Keningau, yang bersebelahan
dengan hospital daerah, tetapi kemudian dipindahkan ke tapak sekarang.
Orang yang terlibat dengan batu
sumpah peringatan ini ialah bekas setiausaha kerajaan negeri Tan Sri Richard
Lind.
Menurut Lind, idea mengadakan
batu sumpah itu timbul semasa usaha mengatasi bantahan awal ketua-ketua kaum
pribumi terhadap langkah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia.
"Beberapa ketua masyarakat
pribumi terkemuka (yang dikenali sebagai Orang Kaya Kaya) pada awalnya bimbang
dengan idea Sabah menyertai Persekutuan, kerana khuatir yang mereka tidak faham
dengan apa yang tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia,"
jelas Lind, yang pada masa itu merupakan Pegawai Daerah Keningau.
"Banyak rundingan dan
perbincangan diadakan. Saya cuba sedaya yang boleh mengatasi rasa khuatir dan
keraguan mereka," kata beliau kepada Bernama.
Selepas mengatasi keraguan
mereka, muncul idea untuk mengadakan batu sumpah peringatan itu sebagai
menunjukkan penerimaan mereka terhadap Gagasan Malaysia.
MENDAPATKAN BATU HIKMAH
Jadi usaha mencari batu yang
sesuai untuk tujuan ini dimulakan.
"Sebagai pegawai daerah yang menguruskan tugas ini saya
menyegerakan usaha supaya batu sumpah ini siap sebelum ulang tahun pertama
kemerdekaan Sabah menerusi Malaysia," kata Lind.
Selepas memulakan usaha mencari
batu yang sesuai, beliau menemui sebuah batu di tengah-tengah Sungai Pegalan,
dekat Kampung Senagang, sebuah perkampungan kecil yang terletak di tepi Jalan
Keningau-Tenom.
"Batu ini mempunyai
kesemua ciri untuk digunakan sebagai batu sumpah. Bagaimanapun, mengeluarkannya
dari sungai itu bukan mudah kerana ia berada di tengah-tengah sungai yang agak
deras airnya," kata beliau.
Bagaimanapun, dengan bantuan
seorang kontraktor binaan tempatan, Nip Kui Chiang, batu itu berjaya dinaikkan
dari sungai dan dipindahkan ke tapak yang dipersetujui oleh para pemimpin
tempatan.
Lind berkata beliau kemudian
menempah sebuah plak daripada Thornycraft Shipyard di Singapura untuk dipasang
pada batu itu.
Para pemimpin tempatan mahu
Ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merasmikan batu itu
tetapi tugas itu diwakilkan kepada Menteri Buruh Persekutuan Tan Sri V. Manickavasagam ketika itu.
Pada 16 Sept 1964, bersempena
ulang tahun pertama Hari Malaysia, ramai yang datang ke perkarangan Pejabat
Daerah lama untuk menyaksikan majlis bersejarah merasmikan batu sumpah itu.
Antara yang hadir pada masa itu
ialah Ketua Menteri Tun Fuad Stephens,
presiden Pasok Momogun, parti pembangkang utama pada masa itu, Datuk
G.S.Sundang, Setiausaha Persekutuan ketika itu Yeap Kee Aik, OKK Sedomon
Gunsanad, OKK Angian Andulag, para pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, ketua
masyarakat pribumi, ketua kampung serta wakil dari pelbagai kumpulan etnik.
Batu sumpah peringatan ini yang kini
berusia 47 tahun, dengan beratnya lebih dua tan, merupakan batu simbolik yang
mempamerkan syarat-syarat yang dipersetujui penduduk pribumi untuk menerima
gagasan Malaysia.
Syarat yang tertera pada plak itu (dalam bahasa
Melayu) menyatakan tiga rukun -- Kebebasan beragama di Sabah; kerajaan negeri
Sabah mempunyai kuasa berhubung hal ehwal tanah di negeri ini; dan budaya serta
tradisi penduduk pribumi di negeri ini dilindungi dan dipulihara oleh kerajaan.
Di sebaliknya, penduduk di pedalaman
menjanjikan kesetiaan mereka kepada kerajaan Malaysia.
UPACARA MONINGOLIG
Pada tahun-tahun awal, satu
upacara korban yang dipanggil `moningolig' diadakan di situ bersempena sambutan
Hari Malaysia, yang dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk ahli politik,
petugas kerajaan, pelajar serta pemimpin masyarakat yang mewakili pelbagai kaum
etnik.
Upacara ini juga merupakan penghargaan
kepada para pemimpin zaman sebelum kemerdekaan untuk mengingatkan generasi muda
akan peranan Sabah dalam mewujudkan Persekutuan Malaysia.
Menurut seorang warga tempatan,
John Gitang, semasa acara korban julung kali apabila batu itu dirasmikan, satu
perkara ganjil berlaku, seekor ayam jantan putih 'tidak mahu mati' walaupun
selepas disembelih.
Gitang beranggapan bahawa ayam
jantan itu telah mati dan membawanya pulang untuk dimakan tetapi semasa
isterinya mahu membersihkannya, ayam itu tiba-tiba hidup semula.
Oleh kerana berasa khuatir yang
keluarganya mungkin dirundung malang, keluarga ini tidak jadi memakannya dan
ayam jantan itu bernasib baik terselamat.
Sementara itu, Timbalan Menteri
Pembangunan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup mencadangkan
bahawa batu sumpah itu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai memandangkan
nilai sejarahnya.
Beliau berkata lokasi sekarang
ini tidak lagi sesuai kerana tapak itu akan digunakan untuk memperbesar pejabat
daerah.