Saturday, 4 May 2013

Batu Sumpah Keningau






KENINGAU (Sabah, Malaysia): Berkata bahawa hampir 30 tahun orang ramai tertipu dengan status sebenar Batu Sumpah Keningau, Peribumi menegaskan kesilapan tanggapan itu perlu dibetulkan dengan segera.
  “Orang ramai tidak tahu yang mana batu sumpah yang sebenar,” jelas Peribumi atau Gabungan Anak-Anak Peribumi.
   Menambah bahawa individu yang berkepentingan dengan batu sumpah Keningau, telah melafazkan sumpah mereka di tempat yang salah, peribumi memberitahu dengan sinis;
   “Sumpah mereka tidak berkesan,” jelas kelab itu dan memberitahu, majlis bersumpah yang telah dilakukan di hadapan batu sumpah yang salah pada sebelum ini umpama satu upacara biasa yang tidak memberi sebarang makna.
   Peribumi menjelaskan bahawa Batu Sumpah Keningau yang sebenar hanyalah sebiji batu kecil yang diletakkan berhampiran dengan batu besar yang sering diajukan sumpah, tetapi sebenarnya merupakan ‘petunjuk’ beberapa terma perakuan diantara pemimpin-pemimpin pedalaman, yang bersumpah untuk taat setia kepada kerajaan persekutuan pada Tahun 1963.
   Antara yang terlibat adalah OKK Sedomon Gunsanad, Datuk GS Sundang, OKK Anthony Undan, Datuk Anthonya Gibon serta beberapa pemimpin yang lain.
   Sebiji batu yang kemudian dijadikan Batu Sumpah berasal dari Bingkor, sementara batu besar yang  menempatkan petunjuk terma persumpahan diambil dari Sungai Senagang.
   Peribumi mendedahkan pengukir batu petunjuk yang selama ini dianggap sebagai Batu Sumpah Keningau, ialah Allahyaraham Abdul Razak Lee.
   Kelab penyokong dasar-dasar kerajaan itu mahu supaya kesilapan sejarah itu dibetulkan dengan segera, dan menasihati orang ramai agar behati-hati sebelum mengiakan sesuatu yang mereka tidak jelas, khususnya maklumat daripada pemimpin pembangkang.


KENINGAU: Upacara sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang jatuh pada setiap September 16, rasanya kurang lengkap bagi memperingkati kelahiran “Malaysia” dibumi Sabah khususnya diPedalaman jika tidak melibatkan upacara menepung tawar sambil membaharui tekad dan ikrar taat setia kepada janji janji yang terukir diatas “Batu Sumpah” yang terletak diperkarangan Urusetia Pejabat Daerah Keningau.

Batu Sumpah yang dahulunya terletak di atas bukit Hotel Perkasa dibina khas ketika Sabah terutamanya rakyat Pedalaman bersetuju pembentukkan Malaysia pada tahun 1963, yang dipelopori oleh pejuang pejuang politik tempatan seperti mendiang OKK Sedomon Gunsanad, Datuk G.S Sundang, OKK Anthony Undan Andulag, Datuk Anthony Gibon dan banyak lagi.


Antara kandungan tercatat diatas Batu Sumpah itu merupakan cetusan rasa rakyat Pedalaman keatas keikhlasan mereka terhadap penerimaan kerajaan Malaysia yang menggabungkan tiga wilayah Sabah,Sarawak dan Malaya; (Ketika itu Singapura masih bersama Malaysia tetapi selepas tahun 1965 Singapura mengambil keputusan keluar daripada gagasan Malaysia).

Bagi menyempurnakan keikhlasan mereka (rakyat Sabah), satu janji antara kedua belah pihak termeterai yang meminta pemimpin Malaya tidak memungkir mahupun menodai 20 Perkara diukir keatas Batu Sumpah dan disaksikan beberapa “Bobolian” termasuk mengorbankan ayam sebagai “Sogit” untuk mengukuhkan janji janji tersebut.


Kini Sabah sudah dalam usia selama 48 tahun bersama Malaysia namun apa yang tersurat diatas Batu Sumpah sudah jelas terabai dan diengkari malah terdapat beberapa pemimpin silih berganti sebelum ini; jangankan menjenguk muka ke Batu Sumpah malah bayang bayang mereka pun langsung tidak kelihatan.

Walhal segala gala ianya bermula disini (Batu Sumpah) yang melakar berbagai kemewahan mahupun kecemerlangan mereka dalm perniagaan malah dalam pendidikan termasuklah dalam bidang politik namun kerdipan lampu neon dan bunga api menjadi pilihan mereka menyambut Hari Malaysia; sebaliknya Batu Sumpah dibiarkan menjadi perhiasan perkarangan Pejabat Daerah Keningau sehingga ke hari ini.

Dalam keghairahan pemimpin hari ini dalam kerajaan, Pemimpin maverrick Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan tidak melupakan mesej yang terkandung diatas Batu Sumpah meskipun beliau ketika melahir dan memimpin UBF dalam setakat beberapa tahun kini tahun 2011 sudah kali ke-3 beliau mengadakan upacara memperingati Batu Sumpah

Manakala SAPP adalah merupakan kali pertamanya menyertai upacara ini dengan diiringi kira kira lebih seratus ahli ahlinya namun barisan pemimpin SAPP yang hadir tidak sahaja terdiri dari pemimpin KDM; sebaliknya jelas kelihatan pemimpin lain seperti Richard Lee seorang Ahli Majlis Tertinggi SAPP, Irene Chan, Rudy Sulaiman Mairi juga turut hadir menghormati kewujudan Batu Sumpah.


Meskipun Parti BERSAMA (dulu dikenali Parti SETIA) dibawah teraju kepimpinan Shuhaidin Langkap juga kali pertamanya menyertai upacara ini namun ianya dilakukan dengan penuh ketradisian yang bermula dari segi pakaian, tarian dan pukulan gong dimana kesemuanya berdasarkan kebudayaan dari kesukuan etnik Gana.

Pendeknya, kelibat mereka ini telah membuktikan kecintaan mereka terhadap Sabah yang pada realitinya memberi mesej kepada rakyat dan pemimpin Sabah bahawa erti sebenar pengisian sambutan Hari Malaysia adalah terletak kepada apa yang tersurat diBatu Sumpah yang perlu dihormati dan perlu dilaksanakan janji janji tersebut.

Mesej tersebut juga mempunyai kaitan bahawa senario terbinanya Batu Sumpah sebagai lipatan sejarah yang tepat memulakan situasi yang sebenarnya sekaligus mengingatkan generasi muda masa kini ianya merupakan catatan sejarah yang tepat penerimaan masyarakat Pedalaman terhadap pembentukkan Malaysia pada tahun 1963. 






KENINGAU, 29 Nov (Bernama) -- Kecuali ayat yang ditulis dalam Bahasa Melayu menggunakan ejaan lama, `batu sumpah peringatan' di hadapan Pejabat Daerah Keningau kelihatan seperti batu biasa yang lain.
Kebanyakan pelawat langsung tidak ambil peduli akan maksud perkataan yang tertera pada plak yang dipasang pada batu itu yang berbentuk tapak kaki besar.
Tetapi selepas sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan pada 16 Sept lepas di Sabah, batu bersejarah ini sedikit sebanyak menerima pengiktirafan.


KISAH DI SEBALIK BATU BERSEJARAH
Batu itu pada mulanya ditempatkan di dalam kawasan pejabat daerah lama Keningau, yang bersebelahan dengan hospital daerah, tetapi kemudian dipindahkan ke tapak sekarang.
Orang yang terlibat dengan batu sumpah peringatan ini ialah bekas setiausaha kerajaan negeri Tan Sri Richard Lind.
Menurut Lind, idea mengadakan batu sumpah itu timbul semasa usaha mengatasi bantahan awal ketua-ketua kaum pribumi terhadap langkah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia.
"Beberapa ketua masyarakat pribumi terkemuka (yang dikenali sebagai Orang Kaya Kaya) pada awalnya bimbang dengan idea Sabah menyertai Persekutuan, kerana khuatir yang mereka tidak faham dengan apa yang tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia," jelas Lind, yang pada masa itu merupakan Pegawai Daerah Keningau.
"Banyak rundingan dan perbincangan diadakan. Saya cuba sedaya yang boleh mengatasi rasa khuatir dan keraguan mereka," kata beliau kepada Bernama.
Selepas mengatasi keraguan mereka, muncul idea untuk mengadakan batu sumpah peringatan itu sebagai menunjukkan penerimaan mereka terhadap Gagasan Malaysia.

MENDAPATKAN BATU HIKMAH
Jadi usaha mencari batu yang sesuai untuk tujuan ini dimulakan.
"Sebagai pegawai daerah yang menguruskan tugas ini saya menyegerakan usaha supaya batu sumpah ini siap sebelum ulang tahun pertama kemerdekaan Sabah menerusi Malaysia," kata Lind.
Selepas memulakan usaha mencari batu yang sesuai, beliau menemui sebuah batu di tengah-tengah Sungai Pegalan, dekat Kampung Senagang, sebuah perkampungan kecil yang terletak di tepi Jalan Keningau-Tenom.
"Batu ini mempunyai kesemua ciri untuk digunakan sebagai batu sumpah. Bagaimanapun, mengeluarkannya dari sungai itu bukan mudah kerana ia berada di tengah-tengah sungai yang agak deras airnya," kata beliau.
Bagaimanapun, dengan bantuan seorang kontraktor binaan tempatan, Nip Kui Chiang, batu itu berjaya dinaikkan dari sungai dan dipindahkan ke tapak yang dipersetujui oleh para pemimpin tempatan.
Lind berkata beliau kemudian menempah sebuah plak daripada Thornycraft Shipyard di Singapura untuk dipasang pada batu itu.
Para pemimpin tempatan mahu Ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merasmikan batu itu tetapi tugas itu diwakilkan kepada Menteri Buruh Persekutuan Tan Sri V. Manickavasagam ketika itu.
Pada 16 Sept 1964, bersempena ulang tahun pertama Hari Malaysia, ramai yang datang ke perkarangan Pejabat Daerah lama untuk menyaksikan majlis bersejarah merasmikan batu sumpah itu.
Antara yang hadir pada masa itu ialah Ketua Menteri Tun Fuad Stephens, presiden Pasok Momogun, parti pembangkang utama pada masa itu, Datuk G.S.Sundang, Setiausaha Persekutuan ketika itu Yeap Kee Aik, OKK Sedomon Gunsanad, OKK Angian Andulag, para pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, ketua masyarakat pribumi, ketua kampung serta wakil dari pelbagai kumpulan etnik.
Batu sumpah peringatan ini yang kini berusia 47 tahun, dengan beratnya lebih dua tan, merupakan batu simbolik yang mempamerkan syarat-syarat yang dipersetujui penduduk pribumi untuk menerima gagasan Malaysia.
Syarat yang tertera pada plak itu (dalam bahasa Melayu) menyatakan tiga rukun -- Kebebasan beragama di Sabah; kerajaan negeri Sabah mempunyai kuasa berhubung hal ehwal tanah di negeri ini; dan budaya serta tradisi penduduk pribumi di negeri ini dilindungi dan dipulihara oleh kerajaan.
Di sebaliknya, penduduk di pedalaman menjanjikan kesetiaan mereka kepada kerajaan Malaysia.



UPACARA MONINGOLIG
Pada tahun-tahun awal, satu upacara korban yang dipanggil `moningolig' diadakan di situ bersempena sambutan Hari Malaysia, yang dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk ahli politik, petugas kerajaan, pelajar serta pemimpin masyarakat yang mewakili pelbagai kaum etnik.
Upacara ini juga merupakan penghargaan kepada para pemimpin zaman sebelum kemerdekaan untuk mengingatkan generasi muda akan peranan Sabah dalam mewujudkan Persekutuan Malaysia.
Menurut seorang warga tempatan, John Gitang, semasa acara korban julung kali apabila batu itu dirasmikan, satu perkara ganjil berlaku, seekor ayam jantan putih 'tidak mahu mati' walaupun selepas disembelih.
Gitang beranggapan bahawa ayam jantan itu telah mati dan membawanya pulang untuk dimakan tetapi semasa isterinya mahu membersihkannya, ayam itu tiba-tiba hidup semula.
Oleh kerana berasa khuatir yang keluarganya mungkin dirundung malang, keluarga ini tidak jadi memakannya dan ayam jantan itu bernasib baik terselamat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup mencadangkan bahawa batu sumpah itu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai memandangkan nilai sejarahnya.
Beliau berkata lokasi sekarang ini tidak lagi sesuai kerana tapak itu akan digunakan untuk memperbesar pejabat daerah.




No comments:

Post a Comment